Thursday, April 28, 2011

hari2 terakhir Kate



KEBEBASAN Kate sebagai gadis biasa akan berakhir 29 April ini.





KISAH cinta Kate Middleton dan pewaris takhta diraja Britain, Putera William ibarat sebuah cerita rakyat. Kedua-duanya berasal daripada latar berbeza.
William seorang bangsawan, cucu Ratu Elizabeth II, yang disebut-sebut bakal mewarisi takhta diraja Britain selepas Putera Charles.
Sementara Kate bukanlah bangsawan. Dia hanyalah wanita daripada latar keluarga kelas menengah, tetapi memiliki kualiti kecerdasan, kebijaksanaan, serta kedewasaan yang membuatkan William jatuh cinta.
Sebagaimana Puteri Diana, ibu William, Kate diangkat oleh media Britain sebagai metamorfosis Cinderella di dunia moden.
Tidak hairanlah jika perkahwinan Kate-William pada 29 April ini dinantikan banyak orang.
Perkahwinan itu disebut akan dilangsungkan dalam tradisi diraja yang sudah berusia ratusan tahun.
Kate akan pergi ke Westminster Abbey dengan menaiki kenderaan dari Istana Buckingham dan melalui mercu tanda seperti The Mall, Horse Guards Palace, Whitehall dan Dataran Parlimen.
Selepas itu, Uskup Canterbury akan menikahkan William dan Kate. Uskup London pula akan memberikan nasihat perkahwinan, yang semua itu dipimpin oleh gereja Westminster.
Setelah itu, pasangan tersebut akan menuju ke Istana Buckingham untuk menghadiri resepsi peribadi bersama keluarga dan teman-teman terdekat. Akan ada tarian, pameran seni, serta pesta bunga api selama beberapa malam di situ.
Perkahwinan ini memang disebut sebagai perkahwinan termahal.
Majalah Reader Digest menampilkan liputan tentang permata-permata yang dikenakan oleh Kate pada hari penting itu, gaun-gaun mewah, harta kerajaan, ritual perkahwinan, serta pesta besar-besaran.

Puteri Diana

Juga diberitakan tentang hasrat para selebriti dunia yang ingin sekali diundang pada acara itu.
Penyanyi Elton John khabarnya telah diminta untuk menyanyi pada acara itu, tetapi kemudian dinafikan pihak istana.
Penyanyi Victoria Beckham dan suaminya bintang bola sepak David Beckham dikatakan melobi supaya mereka diundang.
Perkahwinan ini juga merupakan peluang untuk syarikat-syarikat besar menonjolkan produk masing-masing.
Alcatel misalnya, melancarkan telefon bimbit baru yang disesuaikan dengan momen perkahwinan William dan Kate.
Perusahaan elektronik General Electric (GE) juga menghasilkan peti sejuk yang dihiasi gambar pasangan itu.
‘Perkahwinan agung’ Kate dan William turut mengingatkan pernikahan serupa pada tahun 1981 iaitu ibu bapa Putera William, Putera Charles dan Puteri Diana Spencer.
Bayangan Puteri Diana sukar dipisahkan daripada Kate. Puteri Diana dikatakan wanita cantik terakhir yang mengahwini pewaris takhta di Britain.
Pakaian dan gaya rambutnya menjadi ikutan ramai wanita muda. Semua ini ada pada diri Kate.
Kate juga memilih mengenakan cincin berlian milik Diana sebagai cincin pertunangannya kerana cincin itu sangat bermakna buat William.
Setelah berkahwin, Kate ingin dipanggil dengan nama asalnya, Catherine (Catherine Elizabeth Middleton), dan bukan nama panggilannya itu.
Dia merasakan nama Puteri Catherine lebih sesuai digunakan kerana sebelumnya memang sudah ada nama tersebut dalam sejarah keluarga diraja Britain.
Jika suatu hari nanti dia dan William menjadi raja dan ratu, Kate akan menjadi Ratu Catherine yang keenam di Britain.